ungkapkan pada rindu, senyum pada rembulan, menyanyi pada angin dan hadir pada realiti kehidupan

Monday, March 14, 2011

Sudah itu suratannya..

Pagi ini, aku rasa bersemangat sekali ingin menyambung kembali pengajianku yang terhenti dek kerana penangan cuti semester yang memberi aku peluang beristirehat, merehatkan saraf-saraf otak aku yang telah lama bekerja semasa menghadapi peperiksaan akhir semester pertama dahulu. Alhamdulillah, pagi itu, 20 November 2010, kira-kira jam 9.00 pagi, kereta kakak kesayangan aku meluncur laju menghantar aku ke universiti menandakan semester kedua kini telah menjengah dengan perasaan yang bercampur baur, akan berjayakah aku pada semester kali ini, atau aku bakal tersungkur di lantai nafsu malas yang masih menyelubungi hidup aku sebagai seorang pelajar.

Ah!! Bentak aku di dalam hati sambil menarik beg aku yang berisi penuh dengan pakaian menuju ke meja pendaftaran kolej. Aku menganggap itu sebagai diri aku di masa depan, biar saja masa yang menentukan segalanya. Akhirnya, kekhilafan pertama aku hadir pada hari pertama aku di semester kedua ini. Aku dengan sengaja mencampakkan diri aku dalam lembah kebinasaan tatkala aku meremehkan hal yang penting yang bakal mengubah dan menentukan siapa aku di masa hadapan. Kelas pertama aku bermula pada hari Isnin 22 November 2010. Saat itu aku mengabaikan maha pentingnya persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester seperti yang aku lakukan pada semester sebelum ini. Ternyata aku gagal mencorakkan jadual belajar aku dengan berkesan. Hari-hari aku menuju ke kelas penuh dengan perasaan ingin berbicara berkenaan lawak jenaka, peristiwa lalu yang langsung tidak mempunyai nilai produktiviti. Seperti kata Epi, salah seorang rakan sebilik aku, "Bersembang tentang masa lalu langsung tidak ada masa depan....".

Seminggu selepas aku mendaftar sebagai pelajar semester kedua, seperti yang dijanjikan oleh abang aku, dia kemudiannya menghantar motorsikal yang aku minta sejak semester lepas lagi. Saat itu betapa gembiranya hati aku kerana aku bebas bergerak ke mana sahaja dengan pantas dan semakin efisien. Namun aku alpa, kemudahan yang diberikan keluarga aku, jarang sekali aku menggunakannya pada jalan pelajaran seperti menuju ke perpustakaan seusai kelas rasmi habis di remang senja. Aku banyak menggunakan kenderaan aku, menuju ke kedai-kedai mamak, menonton perlawanan bola sepak Inggeris, sambil bersorak menyokong pasukan kegemaran aku Chelsea. Kalau tidak ke kedai mamak, aku ke Medan Niaga yang menyajikan makanan dan yang paling tidak pun aku menuju ke Dataran Cendikia membeli makanan. Hidup aku hanya berlegar dengan makanan dan kemalasan yang nyata. Kini aku mulai sedar, kemalasan telah membunuh semangat aku, makanan yang berlebih-lebihan itu telah memudaratkan keinginan aku untuk belajar.

Semakin hari aku semakin alpa. Gaming menjadi sebati dengan naluri aku sebagai pelajar. Aku sudah tidak kisah lagi untuk mengulangkaji pelajaran. Bagi aku, aku mudah faham dengan apa yang diterangkan oleh pensyarah ketika di dalam kelas dan itu sudah memadai untuk aku menggunakan ilmu yang aku perolehi dalam kelas dan kuliah membantu aku menjawab soalan-soalan peperiksaan yang maha susah. Namun aku lupa Allah Maha Mengetahui, bahawa aku sebenarnya tidak menumpukan perhatian langsung ketika di dalam kelas seperti yang aku lakukan pada semester lepas. Aku juga akui, aku semakin jauh dengan tikar sembahyang dan tuntutan agama itu aku gagal untuk disempurnakan. Hiburan media yang dijamu kepada aku semakin hari semakin menarik aku dari bebanan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang memegang amanah orang tua di kampung.

Sejak keputusan Malaysian University English Test diumumkan kira-kira tiga bulan yang lalu, dan aku dianugerahkan dengan Band 3. Ternyata keputusan itu menghampakan aku sedangkan aku mengharapkan keputusan yang lebih baik sekurang-kurangnya Band 4. Band 4 yang menjadi ukuran untuk aku melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang kini menjadi taruhan aku untuk meneruskan pengajian. Sementelahan pula, kerja kursus itu dan ini yang membantu aku memiliki markah yang tinggi juga semakin menghimpit aku. Pada sang ibu, aku titipkan bahawa aku ingin menyiapkan kerja kursus aku sebelum aku pulang ke rumah pada cuti pertengahan semester lalu. Namun aku tidak terdaya untuk menyiapkannya lantaran sifat malas yang aku warisi sejak zaman kecilku.

Bulan Februari mula menjengah. Memaksa aku mencelikkan mata di pagi hari adalah amat sukar untuk dilakukan pada hujung minggu. Empat minggu yang ada ini digunakan sepenuhnya untuk membuat persediaan Majlis Makan Malam Perdana program yang aku sertai ini. Soal pengangkutan, komunikasi dan lain-lain yang bersangkutan dengan logistik dan teknikal diserahkan pada komiti yang aku wakili. Saat-saat untuk tibanya hari akhir, semua pelajar yang dulu bersama-sama berkumpul di bangunan utama Kompleks Sukan, kini berkumpul semula buat terakhir kali. 25 Februari 2011, hari Jumaat yang mulia itu menjadi saksi anak-anak muda remaja mempamerkan fesyen terkini serta kenderaan anugerah ibu bapa masing-masing akibat limpahan rezeki yang melimpah ruah dalam keluarga mereka. Aku tetap masih di situ, dengan memegang kamera, aku mula menekan punat kamera tersebut, 'Click, click, click' bunya punat kamera itu ditekan. Dengan kemahiran yang minimum aku mengambil gambar. Sebagai kenangan buat aku yang entah mampu meneruskan pengajian aku dalam bidang undang-undang ataupun tidak. Kesempatan itu juga tidak aku lepaskan untuk bergambar dengan rakan-rakan aku sekalian, beserta gadis yang menjadi dambaan ramai lelaki, tetapi tidak termasuk aku. Dia terlalu indah untuk dimiliki. Terlalu mahal harga yang perlu aku bayar untuk memilikinya, jadi aku memutuskan untuk hanya menjadi sahabat kiranya aku tidak mampu untuk memiliki hatinya. Jika aku berkeras, maka prinsip hidup yang selama ini aku bina melalui pengalaman demi pengalaman aku sebagai anak rantau akan hancur begitu sahaja. Seperti kata-kata mutiara Thomas Jefferson "In matters of style, swim with the current, in matters of principle, stand like a rock". Pertama kali aku membaca entri berkenaan dengan kata-kata mutiara ini melalui salah satu blog yang aku ikuti perkembangannya.

Bulan Mac pon tiba. Aku mengambil peluang cuti di hujung minggu untuk pulang ke Perak. Setibanya aku dari kampung, aku mula merangka beberapa perancangan untuk mengulangkaji semasa study week. 10 Mac, peperiksaan telah bermula. Peperiksaan pada 18 Mac adalah hari terakhir peperiksaan Asasi Undang-Undang sesi 2010/2011 bermakna adalah hari terakhir kami semua bergelar pelajar Asasi. Ini juga bermakna kami bakal bergelar pelajar sarjana muda pada bulan September nanti. Semua ini kekal menjadi kenangan paling bermakna sepanjang hampir 1 tahun kami bersama. Seusai sahaja peperiksaan dan pelajar-pelajar menyerbu keluar dari dewan, terdengar pekikan "Yey! Exam dah habis, hoorayy". Begitu juga beberapa orang pelajar menitiskan air mata tatkala memikirkan saat-saat untuk berpisah dengan rakan-rakan Asasi Undang-Undang KPTM.

Ternyata, tidak sia-sia aku memilih untuk meneruskan pelajaran dalam program Asasi Undang-Undang UiTM ini berbanding ke Matrikulasi, INSTEP dan juga SPA kerana pengalaman ini terlalu bermakna dalam membentuk aku menjadi insan kamil yang berwawasan dan bercita-cita agung. Terima kasih kalian, buat ibu dan bapa aku, para pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar dan rakan-rakan yang tidak pernah lelah untuk melayan perangai aku yang kadang-kala amat "bermakna" untuk diterjemahkan dalam bentuk kata-kata.

Aku adalah aku, dan minat serta angan-angan adalah sebahagian daripada kehidupan aku. Terima kasih kerana sudi berkongsi masa kalian bersama aku menyusuri hari-hari sebagai pelajar Asasi Undang-Undang UiTM.

Sekian..........

No comments:

Post a Comment