ungkapkan pada rindu, senyum pada rembulan, menyanyi pada angin dan hadir pada realiti kehidupan

Friday, April 8, 2011

LANGKAHNYA SEHINGGA SINI

Kelmarin dia masih lagi bersama aku, menyusuri jalan-jalan di desa Bukit Merah. Bersama-sama kami melangkah menghirup udara segar anugerah Tuhan yang Maha Besar buat umat manusia. Dia masih di situ, melirik senyuman sambil tangannya memintal-mintal hujung tudungnya, dari gaya percakapannya, seakan tersembunyi 1 pertanyaan Maha besar. Aku hanya meneka, mungkin ada sesuatu yang ingin dia luahkan atau bertanyakan. Selamanya 4 tahun kami bersahabat, dia jarang sekali bertanya sesuatu yang serius kepada aku, cuma lawak jenakanya sahaja yang menemani aku setiap kali panggilan aku atau dia memasuki corong speaker di telefon bimbit aku.

Lalu, dengan perlahan, dia bersuara, "Awak, sepanjang kita berkawan, saya tak pernah minta pada awak apa-apa berkenaan diri saya. Selama ini pun, jika saya minta sesuatu, semuanya untuk kebaikan awak, tapi kali ini saya ingin sangat meminta sesuatu dari awak untuk saya, anggaplah ini permintaan terakhir saya". aku yang kehairanan menganggukkan kepala. Ya, sehingga kini dia tidak pernah meminta sesuatu dari aku berkenaan kebaikan dirinya. Malahan dia juga tidak pernah mengambil kesempatan di atas persahabatan yang terjalin ini. Dia terlalu baik untuk aku. Aku yang ternanti-nanti permintaan dia termangu dalam persoalan sendiri, "mahu berpindahkah dia, mahu memutuskan persahabatan inikah kerana dia telah berjumpa dengan Mr. Rightnya atau dia ingin aku membantunya keluar dari masalah yang besar", aku bermonolog sendirian. Riak wajahnya serta dahinya yang berkerut-kerut seakan-akan berita Maha hebat yang ingin diperkatakan. lalu, dengan perlahan-lahan dia berkata, " Awak, boleh tak awak berjanji dengan saya 1 perkara.....?", pertanyaannya yang terhenti itu menambah resah aku, lalu dia pun menyambung kembali permintaannya, "... kalau saya sudah tiada nanti boleh tak awak jangan menangisi pemergian saya dan jangan mengiringi jasad saya ketika pengebumian", seusai dia berkata-kata aku lantas menahan mulutnya dari terus berkata-kata dengan jari telunjuk aku. "Hish, awat cakap lagu ni, saya tak suka la, jodoh, ajal, maut, rezeki semuanya ketetntuan Tuhan dan telah tertulis di Ar'asy lama dahulu sebelum kita lahir ke dunia, janganlah awak berfikir yang bukan-bukan", aku menegahnya dari meneruskan kata-katanya. dia pun sambil tersenyum menolak jari aku lalu menyambung perbualannya. Dia menambah, "ala awak ni, ambil serius pulak, saya cuma kata 'kalau', bukannya betul-betul kan. Lagipun saya nak tahu betapa awak ambil berat tentang sahabat awak ni, saya ingatkan awak tak kisah. "Eh, sapa yang tak kisah, awak la kawan baik saya, walaupun usia awak lagi muda dari saya, tapi saya banyak bercerita dengan awak, banyak berkongsi masalah dengan awak, sama juga awak kan, tak ke begitu awak??".Dia dengan nada perlahan menbalas pertanyaan aku, "kalaulah awak tahu apa yang ada di hati saya.....".

Aku kemudian mengajaknya berjalan kaki menuju ke restoran kira-kira 1 kilometer dari situ, kereta Kancil merah yang aku pandu sengaja aku parking jauh dari restoran itu tetapi tetap di kawasan yang mempunyai ramai pengunjung mengurangkan kekhuatiran aku ke atas keselamatan kereta itu. Aku bersamanya berjalan beriringan menuju ke restoran makanan kampung yang terletak tidak jauh itu. sambil berjalan, dia kemudian membuka kembali cerita permulaan perkenalan kami. Saat itu, pada waktu petang, kira-kira 4 tahun yang lalu, aku mengayuh basikal menuju ke Kampung Jalan Baru untuk menghirup udara petang yang bagi aku sangat nyaman. Kemudian, aku terlihat seorang budak perempuan, berjalan berseorangan di tepi jalan perkampungan itu. Aku yang terkenal dengan niat nakal, menyorong basikal aku, mengikuti setiap langkahnya, lantas dia berpaling dan tersenyum padaku. Terus aku melupakan niat aku untuk mengusiknya, tetapi aku ingin mengetahui, siapakah gerangan gadis kecil itu. Selepas menyapanya dan memperkenalkan diri, dia lantas memberitahu namanya. Aku, yang ingin bergegas pulang ke rumah, meninggalkan kepadanya nombor telefon bimbit aku dengan harapan dia akan menghubungiku suatu hari nanti. Cerita persahabatan kami bergerak seiringan masa dan sehingga ke saat ini, kami masih berhubungan. Acap kali, ketika cuti semester, aku akan pulang dan menemui dirinya.

"Oh, dah sampai pun kita kat restoran ni, hurm, awak jom melintas, awak jalan dulu ye", aku menyuruhnya menuju ke restoran itu dahulu. Tiba-tiba deringan telefon bimbit aku mematikan langkah aku. Ketika aku menjawab panggilan itu, tiba-tiba sebuah kereta MyVi hijau meluncur laju melanggarnya. Tubuhnya melayang beberapa meter ke hadapan. Aku yang terkejut lantas menjerit, "Lina!!!!!!!" dan berlari ke arahnya. Setibanya aku di situ, aku lantas merangkulnya dan menjerit meminta pertolongan. Dalam keadaan lemah, dia berkata-kata, "Awak tahu tak, selama ini saya sangat mencintai awak dan saya tahu kereta itu sedang meluru laju. Saya yang membuat panggilan telefon supaya awak juga tidak mendapat kecelakaan. Awak, tadi awak dah janji kan tidak akan menangis, kenapa sekarang awak menangis? Langkah kaki saya bersama awak sehingga sini sahaja. Awak tidak akan bersendirian tanpa saya kerana saya akan tinggalkan untuk awak memori yang akan mengingatkan awak tentang kehidupan kita berdua. Memori itu akan hidup bersama cinta saya kepada awak. Maafkan saya kerana tidak lagi dapat menemani awak. Awak... Laila ha il lallah". Itulah kata-kata terakhirnya sebelum di pergi meninggalkan aku bersendirian di situ. Sudah terlambat juga untuk aku memberitahu bahawa aku juga amat mencintainya. Niat aku mengajaknya ke Bukit Merah kerana itu adalah tempat kami bersama-sama berjumpa dan berkongsi minat yang sama, memancing. Aku mengajaknya kerana aku ingin mendedahkan rahsia hati aku kepadanya. Kira-kira 15 minit kemudian, sayup-sayup terdengar siren ambulans menghampiri kawasan kemalangan.

Kini dia sudah seminggu pergi meninggalkan aku. Masih terngiang-ngiang kata-katanya bahawa langkahnya sehingga sini dan memori yang dia tinggalkan untuk aku. Benar, memori bersamanya adalah saat-saat yang terindah dalam hidup aku. Selepas kejadian itu, saban kali berpeluang pulang bercuti ke kampung, aku pasti akan mengunjungi pusaranya, Nur Aisyah Lina Sofea. "Tahukah awak, betapa hidup saya sunyi sejak ketiadaan awak. Kini sudah hampir setahun awak meninggalkan saya. Saya juga masih tidak mampu menerima gadis lain menjadi pengganti awak. Hanya potret awak yang menjadi tatapan saya kala saya merindukan awak. Awak nampak saya kan, saya sedikit pun tak menangis sewaktu majlis pengebumian awak dan sampai sekarang apabila saya melawat pusara awak, saya juga tidak menangis. Semoga awak tenang di sana, sampai waktunya nanti saya pasti akan menyusul awak ke sana, bertemu dengan Maha Pencipta. Walaupun saya lambat menyuarakan cinta saya, tetapi cinta saya untuk awak tidak akan bersemadi, ia akan kekal subur dalam hati saya. Allah yubarik fik Lina.
Ana uhibbuki fillah Lina, wallahi!

Al-Fatihah untuk dirimu Lina, semoga awak tenang di sana, sesungguhnya aku redha dengan pemergianmu. Semoga Allah merahmati cinta kita. :'(


No comments:

Post a Comment